BERSIH dakwa semua parti politik lakukan kesalahan

0
3

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa semua calon pilihan raya agar untuk berkempen secara bersih, bebas dan adil dalam mengambil hati rakyat untuk mengundi mereka.

Menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH, calon, parti politik, jentera kempen dan semua pihak terlibat termasuklah menteri sementara hendaklah berkempen dengan bersih dan mematuhi undang-undang terutama Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Hasil pemantauan BERSIH, katanya, mendapati banyak parti politik dan calon melakukan aktiviti kempen mereka yang boleh dianggap sebagai kesalahan pilihan raya dan tidak menepati piawaian etika kempen yang adil seperti melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan DUN.

Antaranya adalah pemberian minyak motosikal dan tukar minyak hitam percuma yang boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Selain itu katanya, program subsidi pulang mengundi yang dilaksanakan DAP Pulau Pinang serta sambutan perayaan atau karnival seperti dilakukan calon PH Parlimen Klang, YB Ganabatirau yang akan mengadakan program Sambutan Perayaan Deepavali DUN Pelabuhan Klang 2022 pada 12 November.

“Pihak Perikatan Nasional di Muar juga akan menganjurkan Mini Karnival Anak Muo di PASTI Hadi, Parit Tarom, Muar.

“Program-program ini boleh menjadi satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.

Tambah BERSIH, berlaku juga penggunaan aset kerajaan dan pengaruh tidak wajar kerajaan.

“Sebelum ini BERSIH telah menempelak Ismail Sabri yang mengumumkan penghapusan hutang FELCRA walaupun beliau hanya Perdana Menteri Sementara.

“Pada hari ini, calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin telah hadir Majlis Penyerahan Peranti Komuniti di Pusat Ekonomi Digitial (PEDi) Taman Saujana Utama, Sungai Buloh bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Sementara, Tan Sri Annuar Musa. Kehadiran beliau boleh dianggap sebagai menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

“BERSIH sekali lagi menekankan agar calon-calon dan parti-parti politik berkempen secara bersih dan adil, serta berdasarkan idea serta polisi yang mereka ingin tawarkan kepada rakyat untuk masa hadapan yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here