PKPB hanya babitkan sektor sosial, pendidikan – Dr Noor Hisham

0
2

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah adalah membabitkan sektor sosial dan pendidikan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata penguatkuasaan PKPB itu juga bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik di kawasan terbabit.

Katanya, PKPB akibat peningkatan kes jangkitan Covid-19 itu juga menyeimbangkan antara aspek kesihatan dan ekonomi dengan membenarkan sektor itu terus beroperasi di kawasan berkenaan.

“PKPB tidak akan mengganggu sektor ekonomi dan rantaian bekalan untuk terus beroperasi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah.

“PKPB membenarkan ekonomi dan rantaian bekalan untuk terus beroperasi tanpa gangguan, hanya sekatan terhadap sektor sosial dan pendidikan dilaksanakan,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 14 hingga 27 Oktober.

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku, seperti di Klang di Petaling dan kes dilihat meningkat di Gombak dan dearah-daerah lain.

“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020,” katanya. -Malaysiapost