Ramai yang bisik di telinga, nak orang muda – Muhammad

0
3

Najamuddin Mohd Nor

PARLIMEN Kapar menyaksikan keberanian Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon paling muda daripada gabungan itu, bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhammad Noor Azman, 30, menggalas tugas berat dalam misi BN merampas kembali Parlimen Kapar yang terlepas ke tangan pembangkang sejak 2008.

Beliau bakal memberi wadah politik baharu kepada 189,000 pengundi di Parlimen Kapar terutamanya golongan muda yang sememangnya dahagakan suntikan kesegaran aspirasi orang muda ketika ini.

Muhammad yang masih bujang akan berdepan saingan sengit yang menyaksikan pertembungan tujuh penjuru di Parlimen Kapar.

Selain bakal berdepan penyandang, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dari Pakatan Harapan (PH), Muhammad turut berdepan cabaran Ustaz Mohd Pathan Hussin (GTA), Dr Halimah Ali (PN), Datuk Seri Rahim Awang (Warisan), Dr Daroyah (PBM) dan Datuk Seri Selvalinggam (Bebas).

“Kempen saya adalah ‘straight foward’ je, saya akan jumpa seberapa banyak pengundi yang boleh di seluruh Parlimen Kapar yang mempunyai 189,000 pengundi.

“Alhamdulillah sejak 3 hari berkempen ini, penerimaan rakyat terhadap saya sangat positif. Ramai yang jumpa saya akan bisikkan di telinga saya ini, kita nak yang muda kali ini,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.

Muhammad yang merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar berkata, kata-kata positif yang diterima terutamanya daripada golongan muda telah membakar semangatnya untuk berkempen dengan lebih kuat sekali gus memastikan BN memenangi Parlimen Kapar pada 19 November ini.

“Pengundi melihat orang muda mampu memikul tanggungjawab amanah yang lebih berat sebab mereka yakin orang muda ini lebih banyak tenaga, kita lebih banyak masa dan mereka tahu kita ini boleh buat kerja.

“Pastinya rakyat mahu wakil rakyat yang boleh bekerja, yang boleh turun selalu menjenguk rakyat, cakna isu tempatan dan menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Itu yang pengundi nak dan saya menawarkan kepada mereka diri saya di sini,” katanya.

Pada PRU14 lalu, Abdullah Sani menang di Parlimen Kapar dengan majoriti 16,306 undi.

BN yang meletakkan calon dari dari MIC ketika itu dikedudukan ketiga di belakang calon PAS. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here