PKPB: Semua IPT di KL, Putrajaya, Selangor dan Sabah diarah tutup

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

SEMUA institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah ditutup mulai esok, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata langkah itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok hingga 27 Oktober ini.

“Susulan daripada pelaksanaan PKPB di seluruh Sabah, Selangor, KL dan Putrajaya, semua IPT di empat negeri dan wilayah ini akan ditutup bermula esok.

“Pelajar yang berada di kampus diminta untuk terus kekal di kampus manakala semua kakitangan di IPT disaran agar terus Bekerja dari Rumah.

“Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan terus dilaksanakan atas talian mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya menerusi Twitter.

Beliau juga meminta pihak IPT supaya terus menjaga kebajikan pelajar dengan memastikan kafeteria beroperasi dan perkhidmatan pembersihan kawasan kampus dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 14 hingga 27 Oktober.

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku, seperti di Klang di Petaling dan kes dilihat meningkat di Gombak dan dearah-daerah lain.

“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 14
Oktober hingga 27 Oktober 2020,” katanya. -Malaysiapost