CALON Barisan Nasional (BN) Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berjanji akan mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda di kawasan itu.
Reezal Merican yang juga penyandang kerusi itu berkata beliau gembira mendengar bermacam-macam pandangan dan idea anak muda untuk Keluarga Kepala Batas.
“Petang semalam luang masa santai bersama warga Paya Keladi Hujung sambil pekena Maggi Viral Warung Mak Lang Ina, sempoi sungguh warung tepi bendang.
“Dapat sembang dengan anak muda Paya Keladi, syok dengan depa, ada macam-macam pandangan dan idea untuk Keluarga Kepala Batas,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga mengajak penduduk yang layak mengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 November ini.
“Saya pesan kat depa supaya jalankan tanggungjawab turun mengundi 19 November nanti.
“Undi untuk Kestabilan, undi untuk Kemakmuran, undi Demi Kepala Batas,” katanya.
Parlimen Kepala Batas menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), dan Pakatan Harapan (PH).
Reezal Merican bersaing dengan Dr Siti Mastura Mohamad (PN), Hamidi Abu Hassan (GTA), dan Danial Abdul Majeed (PH).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Reezal Merican memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,736 undi. – Malaysiapost

