CADANGAN menamakan Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Perak jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berjaya menawan Perak, belum melalui rundingan dengan parti komponen PH yang lain.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata cadangan menamakan Zainal Azman, yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak hanya sekadar cadangan daripada PKR.
Katanya, ia belum diputuskan secara konsensus sebagai mana beliau disepakati sebagai calon Perdana Menteri PH jika PRU15 menyebelahi PH.
“Itu hanya cadangan PKR tetapi selalunya dalam sistem kita, kita runding dahulu dalam PH. Macam calon Perdana Menteri, PKR cadangkan Anwar (saya) tetapi kita bincang dalam PH dan (hasilnya), konsensusnya, Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Jadi, kenalah melalui proses terbabit dan yang penting, kita mahu menang dahulu. Masih tiada lagi keputusan yang tuntas dan muktamad mengenai calon Menteri Besar Perak,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika Program Penyertaan Bekas Ahli MIC dan ramah mesra bersama masyarakat India di Ulu Kinta, Tambun, Perak petang tadi.
Beliau mengulas mengenai penamaan Zainal Azman, yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang atas tiket PKR pada PRU15 sebagai Menteri Besar jika PH berjaya menawan negeri Perak.
Semalam, PKR kelihatan tidak senada berhubung pencalonan Zainal Azman sebagai Menteri Besar Perak apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa sedemikian pada sidang media.
Naib Presiden PKR, yang juga Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang, dilapor berpandangan, sekarang bukanlah masa sesuai bagi berbincang mengenai calon Menteri Besar Perak, sebaliknya perlu fokus untuk memenangi pilihan raya terlebih dahulu.
Beliau dilapor mendakwa, tiada perbincangan dan rundingan dibuat dengan PKR Perak mengenai pencalonan Zainal Azman, setakat semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar memberi jaminan kejayaan PH memenangi PRU15 tidak akan membuatkan DAP menguasai dan mendominasi gabungan itu.
Pada program itu, Anwar menerima 480 borang keahlian menyertai PKR daripada bekas Ketua Cawangan MIC Taman Mewah Tambun, R Kannappah. – Malaysiapost

