MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menolak dakwaan bahawa proses pengundian di negara ini ibarat satu bentuk perjudian.
Idris yang turut menegur individu yang mengeluarkan kenyataan itu, berkata dakwaan itu tidak tepat sama sekali, dan ia tidak boleh disamakan dengan kegiatan judi yang jelas haram di sisi agama Islam.
“Jangan kita halalkan perkara yang haram dan haramkan perkara yang halal. Judi ini satu perkara lain.
“Jadi saya harapkan perkara ini dapat diperbetulkan,” katanya.
Terdahulu, penyayi nasyid, Suhaimi Saad menyatakan pendirian untuk tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menerusi hantaran video di TikToknya, bekas anggota kumpulan In-Team itu menyatakan, perbuatan mengundi pada PRU15 menjadi sebahagian daripada menyokong kegiatan judi kerana seseorang calon akan mengeluarkan wang pertaruhan.
Mengulas lanjut, Idris berkata, wang deposit adalah sebahagian ketetapan dalam pilihan raya bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.
“Manakala keluar mengundi pula merupakan tanggungjawab dan hak sebagai warganegara dalam menentukan pentadbiran kerajaan,” katanya.

