Noh kecewa, sedih dengan tindakan Zahid

0
2

MAJLIS penyerahan watikah calon Barisan Nasional (BN) Selangor bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung dalam suasana agak suram malam tadi berikutan tiada watikah diperuntukkan kepada Pengerusinya Tan Sri Noh Omar. 

Tambah menyedihkan, berita mengenai pemilihan calon BN di Parlimen Tanjong Karang hanya diketahui Noh menerusi media sosial. 

Tanpa berselindung, Noh menzahirkan kekecewaannya terhadap sikap berdiam diri Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan sebelum ini tidak memberi jawapan sebenar mengenai kedudukannya di kerusi Tanjong Karang.

Noh mendakwa telah menemui Ahmad Zahid pada Selasa lalu, namun diminta menunggu dalam tempoh dua hari.

“Presiden parti beritahu saya (beliau) beri tempoh dua hari jadi hari ini (Khamis) dia akan panggil saya balik untuk berbincang semula mengenai (pemilihan) calon (Parlimen) di Tanjong Karang.

“Jadi saya tunggu dari pagi sampai malam. Saya WhatsApp Presiden tetapi tidak ada respons.

“Mungkin presiden sibuk, hanya dalam pukul 8 saya dimaklumkan sudah keluar senarai BN dan saya tengok Tanjong Karang sudah ada calon.

“Sebab itu pada malam ini watikah calon Tanjong Karang tidak ada dengan saya lagi, saya hanya bergantung kepada laporan media sosial,” katanya.pada sidang media selepas majlis berakhir di Shah Alam, malam tadi.

Menjelaskan mengenainya, Noh turut kecewa dengan sikap tidak terbuka Ahmad Zahid dalam menyentuh status pencalonannya di Tanjong Karang.

“Sedih dan kecewa saya menunggu macam buah tak jatuh. Saya WhatsApp tapi tiada jawapan, padahal dia baca. Saya tidak mendapat perhatian daripadanya. Saya bersikap terbuka,” katanya. 

Dalam majlis itu, hanya 21 daripada 22 watikah diserahkan kepada calon BN Selangor yang bertanding PRU15 ini. 

BN telah mengumumkan Datuk Habibah Mohd Yusof bertanding di Parlimen Tanjong Karang pada PRU15. 

Habibah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang adalah antara tujuh calon yang diumumkan semula dalam satu kenyataan BN yang dikeluarkan lewat petang semalam. 

“Watikah Tanjong Karang katanya belum dapat lagi. Namun, sudah ada (dalam senarai) calonnya ialah Datuk Habibah. Saya tidak tahu mana watikah itu,” kata Noh. 

Sehubungan itu, beliau memberitahu akan mendedahkan punca beliau digugurkan menjadi calon BN di Tanjong Karang pada pukul 4 petang Jumaat. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here