Segera lapor polis, SPRM jika terima bantuan dicap lambang parti – Rais

0
3

INDIVIDU yang menerima bungkusan, kampit beras atau makanan dicap dengan lambang parti politik tertentu diminta membuat laporan polis atau melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata pihaknya memandang serius terhadap amalan menggunakan lambang parti politik pada kampit beras, gula, tepung dan bahan bantuan yang disampaikan kepada pengundi.

Katanya, sebarang bantuan kepada rakyat hendaklah bebas daripada simbol-simbol badan politik.

Ujar beliau, ia kerana tindakan itu merupakan satu bentuk sogokan agar undi diberi kepada parti tertentu sahaja sekali gus mencabul dan melanggar undang-undang anti rasuah negara.

“Ini adalah pada hakikatnya satu bentuk rasuah yang dilibatkan dalam tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) kini.

“Sesiapa yang menerima bungkusan, kampit beras atau makanan sedemikian dimohon agar lekas membuat laporan polis atau terus kepada SPRM.

“Harga diri demi demokrasi jauh lebih berharga daripada sekampit beras dan sebotol minyak masak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, hari ini.

Rais berkata, baru-baru ini terdapat beribu-ribu kampit beras dicap dengan lambang parti politik tertentu sebelum dihadiahkan kepada rakyat di kampung-kampung luar bandar dan kampung baharu, rumah pangsa dan tempat-tempat lain.

Sehubungan itu, beliau menekankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih cakna menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dalam pemantauan itu.

Menurutnya, beliau turut meminta SPR dan SPRM bersiap siaga dan bertindak mencegah perbuatan antikeluhuran itu.

Dalam masa sama, beliau melahirkan kebimbangan terhadap fenomena masa kini seolah-olah menunjukkan perbuatan sogok-menyogok semakin berleluasa sehingga mewujudkan seperti pesta budaya rasuah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here