Kestabilan politik sumbang kejayaan pemulihan krisis ekonomi

0
3
Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari

KESTABILAN adalah sangat penting, terutamanya bagi negara membangun seperti Malaysia. Kajian dan pengalaman negara-negara membangun di dunia mendapati pembangunan ekonomi boleh dicapai melalui kestabilan politik.

Negara mungkin mempunyai peluang untuk melaksanakan pembangunan ekonomi dengan lebih cepat dan berkesan dalam tempoh yang lebih singkat sekiranya berlaku kestabilan politik.

Dalam konteks ekonomi pada ketika ini kestabilan politik adalah penentu kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia. Pertama, ayuh kita memahami prospek ekonomi 2023-2024.

Pemulihan negara perlu tadbir urus ekonomi yang cekap

Pertumbuhan ekonomi dunia yang diunjur menguncup pada 2023 dan 2024 memerlukan tadbir urus ekonomi yang cekap dalam pemulihan ekonomi Malaysia

Hampir pasti berlaku penguncupan ekonomi dunia pada tahun 2023 dengan jangkaan impaknya sehingga 2024. Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia 2022 menyusut kepada 2.9 peratus berbanding 5.7 peratus pada 2021. Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada 2022 berbanding dengan unjuran awal.

Pada tahun 2023 hingga 2024, ekonomi dunia dijangka bertumbuh pada kadar 3 peratus setahun, iaitu situasi yang tidak banyak berbeza berbanding dengan tahun 2022.

Unjuran ini bersandarkan kepada beberapa persekitaran ekonomi termasuklah pemulihan impak peperangan Rusia-Ukraine yang perlahan, tekanan inflasi yang semakin mendalam dan krisis kos sara hidup.

Situasi yang dihadapi oleh Malaysia pada ketika ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi global. Kementerian Kewangan Malaysia pada pembentangan Bajet 2023 lalu telah mengunjur pertumbuhan KDNK sekitar 4 peratus hingga 5 peratus untuk tahun 2023.

Untuk rekod, pertumbuhan ekonomi 2022 diunjurkan lebih tinggi pada anggaran 6.5 peratus hingga 7.0 peratus. Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan untuk tahun mendatang akan memberi cabaran kepada Malaysia dalam proses pemulihan ekonomi secara keseluruhannya termasuklah “pemulihan” kos sara hidup.

Pertumbuhan KDNK Malaysia sejak 1961 menunjukkan pergerakan ekonomi yang berada pada trajektori menaik. Malaysia adalah satu daripada dua belas negara berpendapatan rendah yang telah merekodkan pertumbuhan purata pada kadar purata 6 peratus setahun.

Pertumbuhan yang tinggi ini telah membantu pembangunan sosio-ekonomi rakyat dan merapatkan jurang pendapatan.

Malaysia menyaksikan penguncupan dalam pertumbuhan KDNK sejak mencapai kemerdekaan akibat daripada ekonominya yang terdedah kepada beberapa krisis ekonomi global.

Antaranya, krisis minyak dan kewangan pada pertengahan 1970-an; imbangan fiskal pembayaran dan krisis kewangan pada pertengahan 1980-an; dan krisis kewangan Asia pada tahun 1997 mengakibatkan penguncupan mendadak KDNK kepada -7.4 peratus pada 1998.

Pada abad ke-21, tercetusnya kewangan global dan krisis ekonomi seterusnya pada tahun 2008 sekali lagi menjerumuskan ekonomi Malaysia ke dalam penguncupan ekonomi. Semua krisis ekonomi ini berjaya ditangani oleh Malaysia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kembali kepada landasan.

Ketidakstabilan politik sejak awal 2020 bersama-sama dengan permulaan pandemik Covid-19 telah menyebabkan penguncupan mendadak dalam KDNK Malaysia, yang menguncup sebanyak -5.6 pratus pada 2020.

Ketidaksyabilan politik, Covid-19 beri tekanan pada Malaysia

Persekitaran politik yang tidak menentu bersama dengan kejatuhan ekonomi akibat wabak Covid-19 itu telah memberi tekanan kepada Malaysia, iaitu keadaan yang tidak pernah berlaku sejak kita mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tadbir urus ekonomi yang tidak cekap semasa tempoh pandemik seperti langkah penutupan perniagaan yang lama tanpa mengira aspek sosio-ekonomi menambah “kecederaan” ekonomi. Oleh itu, perubahan kepimpinan dijangka mampu memberi persekitaran yang menggalakkan kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

Keputusan pembubaran Parlimen bagi mendapatkan kestabilan politik adalah langkah tepat yang diambil bagi memastikan kesediaan Malaysia menghadapi krisis ekonomi tahun hadapan.

Jika pilihan raya umum diadakan pada tahun 2023, kita berkemungkinan menghadapi risiko berganda iaitu ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi global.

Penulis ialah Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA)

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here