Annuar restu Marzuani bertanding kerusi Parlimen Ketereh

0
2

PENYANDANG kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa merestui Marzuani Ardilla Ariffin sebagai penggantinya yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menjelaskan beliau sentiasa konsisten dengan pendirian supaya Ketua Puteri Umno Kelantan itu menerima keputusan pucuk pimpinan parti.

“Pagi ini, Marzuani tanya saya lagi..apa yang perlu dibuat kerana hari ini perlu mengisi borang pencalonan.

“Jawapan saya konsisten, teruskanlah seperti biasa. Beliau nak jumpa saya pagi ini, saya katakan sempurnakan semua urusan dulu.

“Sewaktu dipanggil ke majlis pengumuman pun sama..jawapan saya sama. Pergilah dan terimalah. Alhamdulillah Ketereh tenang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Annuar yang digugurkan pada PRU kali ini turut mengingatkan jentera parti di kawasan itu supaya tidak menutup bilik gerakan atau patah semangat.

“Kita ikuti perkembangan dengan sabar dan tabah. Setiap perbuatan mesti berfikir panjang, jangan lebarkan perpecahan terutama dalam kalangan rakan seperjuangan dan umat Islam.

“Ada kala kita disalahertikan, ada kala kita difitnah dengan fitnah yang memilukan.

“Namun, kekallah pada kebenaran dan kejujuran. InsyaAllah ada hikmah di belakang dan ganjaran di hari kemudian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here