PRU15: GTA parti alternatif ganti Umno – Dr Mahathir

0
2

GERAKAN Tanah Air (GTA) yakin parti itu boleh menggantikan Umno dalam usaha memulihkan negara dan membela orang Melayu jika diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, Pengerusi Penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata GTA lebih baik kerana pemimpin dan calonnya bersih, bebas jenayah serta tidak berdepan pertuduhan di mahkamah.

“GTA terdiri daripada orang Melayu yang berkebolehan dan yang bersemangat kebangsaan Melayu dan Malaysia, sayang negara dan agama.

“Parti ini bertujuan menukar kerajaan penjenayah kepada kerajaan yang bersih, cekap dan beramanah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Dr Mahathir, Umno sudah dirampas oleh penjenayah Melayu yang berjuang untuk duit selain untuk menyelamatkan pemimpin mereka daripada didakwa di mahkamah dan dipenjara.

“GTA akan lawan Umno supaya Malaysia tidak akan diperintah oleh penjenayah yang telah rosak parti, pemerintahan dan negara.

“Nasib orang Melayu dan negara tidak lagi bergantung kepada Umno,” katanya.

Dr Mahathir memberi jaminan GTA mampu memulih semula politik kestabilan, ekonomi yang sihat dan kesejahteraan sosial.

Katanya, Malaysia akan kembali menjadi negara Harimau Asia, di mana orang Melayu akan dihormati dan disanjung tinggi.

“Inilah janji GTA kepada Malaysia dan rakyatnya,” katanya yang akan menggunakan logo Pejuang pada PRU15 kerana ia belum didaftarkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here