DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan
PENGGUGURAN Datuk Seri Shahidan Kassim daripada senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan disebabkan beliau tidak layak bertanding.
Sebaliknya, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, pengganti beliau, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, dipilih selepas Barisan Nasional (BN) mengambil kira keperluan pengundi tempatan dan negeri.
“Beliau (Shahidan) lebih daripada layak tetapi tempoh masanya telah berlalu,” katanya memetik Kosmo Online.
Pengerusi BN itu sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Presiden Umno ditanya sama ada Shahidan tidak layak bertanding selepas BN mengumumkan senarai calon PRU15 malam tadi yang menyaksikan pengguguran namanya.
Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau merupakan salah seorang daripada lima nama besar yang digugurkan daripada senarai calon PRU15.
Mereka termasuk Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beberapa jam selepas BN mengumumkan senarai calon PRU15, Shahidan mengesahkan tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau meskipun perlu menggunakan tiket parti lain.
Perikatan Nasional (PN) Perlis kemudian mengesahkan memberi laluan kepada Shahidan mewakili gabungan tersebut di Parlimen Arau pada PRU15. – Malaysiapost

