PELAWAK dan penyampai radio, Fad Bocey mengalami kecederaan pada bahagian kaki selepas kemalangan membabitkan motosikal ditungganginya, malam Isnin lepas.
Isterinya, Syaheera Rahman memaklumkan Fad dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Shah Alam, kini stabil tetapi masih dalam pemantauan.
Menerusi hantaran di Instagramnya, dia memaklumkan sebelum ini Fad dirawat di Unit Dependensi Tinggi (HDU) akibat hentakan di kepala namun telah dipindahkan ke wad biasa.
“Terima kasih yang mendoakan Fad. Dia kemalangan selepas pulang kerja kira-kira pukul 7.15 malam.
“Fad beritahu dia langgar kon di tepi jalan kerana ada kereta rosak sebelum itu. Jalan gelap dan tak nampak.
“Ada motor lain cuba elak dan Fad yang di belakangnya tak sempat dan terus terbabas,” katanya.
Beliau bagaimanapun menzahirkan rasa syukur kerana tidak tercampak ke tengah jalan kerana banyak kenderaan.
“Terima kasih yang mendoakan dan bantu sepanjang kejadian itu,” katanya. -Malaysiapost

