JENTERA Barisan Nasional (BN) Parlimen Jempol kini didakwa ‘lumpuh’ selepas 40 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan itu dikatakan ditutup sejak malam tadi.
Keadaan itu berlaku selepas mereka difahamkan penyandang kerusi Parlimen itu yang juga Pengerusi BN Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Umno Bahagian Jempol, Muhamad Zamri Omar, mendakwa keputusan pucuk pimpinan BN yang memilih individu lain jelas membelakangkan senarai nama calon yang dicadangkan Umno Bahagian, malah calon yang akan dipilih juga tiada dalam senarai itu.
“Kami ada masa mendesak, kami berusaha ke arah itu lebih-lebih lagi Datuk Seri Mohd Salim sememangnya sudah terbukti memberikan khidmat terbaik sepanjang satu penggal di bahagian ini.
“Kami bimbang, Parlimen Jempol ini yang sebelumnya merupakan kawasan putih bertukar menjadi kawasan kelabu, semua nak tutup bilik gerakan. Ini bukan ancaman, bukan bantahan, tapi kami mahu Ketua Umno Bahagian Jempol kekal menjadi calon Parlimen ini,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Umno Bahagian Jempol, hari ini.
Dalam sidang media sama, hampir 100 individu terdiri daripada Ketua PDM dan Umno cawangan-cawangan hadir menyatakan sokongan supaya Mohd Salim dapat dikekalkan di kerusi itu.
Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Palong 16, Abdullah Ismail juga berharap agar pucuk pimpinan dapat mengekalkan Mohd Salim sebagai calon Parlimen Jempol memandangkan beliau baru sahaja berkhidmat sepenggal di Parlimen itu.
“Orang (Mohd Salim) yang bersungguh-sungguh menghimpunkan ahli Umno selepas pilihan raya umum lalu dan bagaimana orang yang sudah bersusah payah hendak diketepikan sebagai calon?” soalnya.
Untuk rekod, Pada PRU14, Mohd Salim memenangi kerusi Jempol dengan majoriti 1,631 undi menewaskan calon PKR, Kamarulzaman Kamdias dan calon PAS, Mustaffa Daharun. – Malaysiapost
Foto kredit: Utusan Online

