Jangan tukar haluan hidup semata-mata tak dipilih sebagai calon – Tuan Ibrahim

0
2

PEMIMPIN PAS diingatkan agar tidak menukar haluan hidup semata-mata kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua pihak perlu menerima apa juga keputusan pimpinan parti dengan berlapang dada.

“Kepada yang tidak terpilih, terimalah dengan lapang dada kerana Allah angkat taklif dari kita, meringankan hisab di akhirat.

“Jangan tukar haluan hidup semata-mata rasa kecewa kerana tidak terpilih. Mungkin ada tempat yang sesuai yang sedang disusun oleh Allah.

“Kekal bersama jamaah, kerana hidup bukan hanya hari ini. Ambillah dan renungilah sejarah perjuangan parti yang panjang ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Tuan Ibrahim, mereka yang tidak terpilih diingatkan agar jangan hitamkan diari hidup semata-mata menurut nafsu kekecewaan.

“Lalu kita rasa pendapat kita lebih hebat dari pandangan jamaah.

“Jangan rasa hebat bila boleh melawan perjuangan Islam, dan jangan rasa hebat sekalipun kamu berjaya mengalahkan perjuangan Islam.

“Sentiasa berhati-hati dengan tipudaya syaitan, meniup nafsu sombong, kecewa dan rasa hebat,” katanya.

Kepada yang bakal diamanahkan bertanding pula katanya, teruskan mendekati pengundi dan menjaga kebajikan petugas parti.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memaklumkan pembahagian kerusi antara parti gabungan Perikatan Nasional (PN) telah diselesaikan.

“Calon pun dah siap dalam senarai. Menunggu pengumuman sahaja. Kerja sekarang fokus ialah untuk mencapai kemenangan di kerusi kita bertanding.

“Susun dan bantu capai strategi tepat, gerakerja perlu tersusun. Jangan banyak nakhoda. Pengarahan biar satu sahaja.

“Masa ini bukan nak cari kelemahan dan kesalahan. Tapi nak tutup kelemahan dan bina reputasi positif dalam kalangan pengundi,” katanya.

PN dijangka mengumumkan senarai calonnya yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 malam ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here