DATUK Seri Rina Harun sah bakal bertanding di kerusi Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang di Bukit Changgang, Sepang malam tadi.
Ia sekali gus menyaksikan Ketua Srikandi Bersatu itu tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa yang disandangnya ketika ini.
Rina dijangka berdepan seorang lagi ketua sayap wanita, iaitu Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu.
Kerusi Parlimen Sepang sebelum ini disandang wakil dari Amanah mewakili Pakatan Harapan (PH), Hanipa Maidin yang tidak dinamakan sebagai calon kali ini.
Sementara itu menerusi hantaran di Facebooknya, Rina mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pimpinan PN dan Bersatu.
“Ini satu penghormatan buat wanita. InsyaAllah amanah ini akan dipikul dengan sepenuh jiwa.
“Sepang sentiasa di hati, keluarga saya sendiri berasal dari daerah ini. Sebagai anak jati daerah yang saya cintai ini, akan diperjuangkan suara rakyat Sepang demi kebaikan kita bersama.
“Kepada semua, saya pohon doa serta restu untuk saya berkhidmat di Sepang. Semoga Perikatan Nasional beroleh kejayaan! InsyaAllah,” katanya. – Malaysiapost

