‘Bilik gerakan BN Parlimen Arau ditutup, bendera diturunkan’ – Shahidan

0
2

DATUK Seri Shahidan Kassim mengesahkan semua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditutup, malam ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Arau memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di Facebooknya, turut memaklumkan bendera parti itu juga sudah diturunkan.

“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan. Kali pertama dalam sejarah,” tulisnya.

Walaupun tidak menyatakan dengan terperinci perkara itu, namun hantaran berkenaan menguatkan spekulasi bahawa namanya digugurkan sebagai calon BN bagi Parlimen Arau dalam PRU15.

Terdahulu, media melaporkan, menjelang pengumuman calon BN, spekulasi bertiup kencang nama Shahidan dikatakan gugur sebagai calon bagi Parlimen Arau.

Selain Shahidan, seorang lagi pemimpin ‘otai’ Datuk Zahidi Zainul Abidin juga dikatakan tidak terpilih mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar dalam pilihan raya kali ini.

Susulan itu, akar umbi Umno Bahagian Arau mendesak agar kepimpinan tertinggi parti mengekalkan Shahidan sebagai calon Parlimen Arau dalam PRU15.

Rata-rata mereka memberi peringatan akan memastikan calon Umno atau BN tewas di kerusi berkenaan sekiranya nama Shahidan digugurkan pada kali ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here