DATUK Mohd Rafiq Naizamohideen yang mengumumkan keluar Bersatu semalam, berjanji akan terus berkhidmat kepada penduduk di Tangga Batu.
Menurut bekas Naib Presiden Bersatu itu, walaupun tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau akan tetap membantu rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Walaupun sudah tidak memegang jawatan dalam parti atau tidak lagi menjadi wakil rakyat, saya akan terus membantu rakyat melalui platform NGO mengikut kapasiti dan kemampuan saya.
“Walaupun tidak lagi menjadi Yang Berhormat, saya akan terus menjadi Yang Berkhidmat (YB) khususnya untuk rakyat Parlimen Tangga Batu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam Mohd Rafiq mengumumkan peletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, peletakan jawatan tersebut susulan beliau tidak dicalonkan Bersatu pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Tangga Batu, walaupun sudah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.
Surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu. – Malaysiapost

