Reezal Merican bersyukur isu kelewatan Projek Rumah Mesra Rakyat di Kampung Permatang Saga selesai

0
3

DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan rasa gembira apabila isu kelewatan pembinaan Projek Rumah Mesra Rakyat di Kampung Permatang Saga, Kepala Batas yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu sudah berjaya diselesaikan.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, bersyukur kerana sebahagian besar daripada penerima sudah pun menetap di rumah berkenaan sejak awal tahun ini.

“Alhamdulillah..saya cukup gembira melihat senyuman yang terukir di wajah penduduk Kampung Permatang Saga ketika hadir menyantuni mereka di kediaman hari ini (semalam).

“Senyuman ini tidak lain memaknakan rasa kesyukuran kerana penantian untuk memiliki atau menduduki kediaman sendiri menjadi realiti menerusi ikhtiar Rumah Mesra Rakyat yang kita usahakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, isu berkenaan disuarakan oleh penduduk pada Oktober tahun lalu dan atas kapasitinya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, beliau telah mengarahkan pihak pemaju supaya menyiapkan projek ini pada kadar segera.

“Ia demi kesejahteraan dan memenuhi impian penduduk memiliki kediaman sendiri.

“Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, impian mereka sudah tertunai, malah ada antara penduduk yang telah pun menetap di sini sejak awal tahun ini,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Reezal Merican menerima aduan daripada penerima Rumah Mesra Rakyat di bawah projek Ranca­ngan Tebatan Banjir (RTB) kendalian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Permatang Saga.

Difahamkan terdapat lebih 30 pemohon yang layak menerima rumah berkenaan, namun 16 daripadanya dikatakan telah menarik diri kerana tidak sanggup me­nunggu terlalu lama untuk mendapatkan rumah tersebut.

Daripada 15 penerima yang layak itu pula, hanya dua projek berjaya disiapkan sebelum ini, lapan projek terbengkalai manakala selebihnya masih di peringkat permulaan atau tapak kosong.
Reezal Merican dalam kenyataannya ketika itu, memberitahu pihaknya akan cuba memastikan tidak akan ada lagi sebarang projek perumahan yang ‘sakit’ atau tergendala pada masa depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here