PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada beregu wanita negara Pearly Tan dan M Thinaah yang berjaya menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Perancis malam tadi.
Menurutnya, kejayaan beregu kebangaan negara itu mengharumkan nama Malaysia menunjukan semangat kekitaan yang menjadi asas Keluarga Malaysia.
“Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan telah cipta kejutan menewaskan beregu nombor tujuh dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara.
“Sukan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dan juga menyatukan kaum, serta semangat kekitaan yang menjadi asas Keluarga Malaysia. Tahniah! Malaysia Boleh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Pearly dan Thinaah muncul juara bagi saingan beregu wanita Terbuka Perancis selepas menumbangkan pilihan keempat dari Jepun yang juga juara dunia dua kali.
Kejayaan itu dicapai dalam saingan tiga set dengan kemenangan 21-19, 18-21 dan 21-15 , sekaligus menyaksikan pasangan berkenaan menjadi beregu wanita Malaysia pertama merangkul gelaran Terbuka Perancis.
Beregu wanita utama negara itu mencipta sejarah dalam menamatkan kemarau kejuaraan selepas mengungguli kejohanan badminton Terbuka Perancis yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertine di Paris.
Kemenangan malam tadi juga adalah gelaran kedua dan kejayaan terbesar pasangan nombor 11 dunia itu dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac tahun lalu. – Malaysiapost

