DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor yang meraih pingat emas pada Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022 di Nuremberg, Jerman, Sabtu lalu.
Menerusi catatan Facebooknya, Perdana Menteri berharap kejayaan pasukan sekolah itu akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar lain untuk turut terlibat dalam inovasi dan reka cipta sehingga menggapai kejayaan.
“Tahniah kepada ahli pasukan, Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi.
“Saya difahamkan pasukan ini menewaskan 490 pasukan dari 250 sekolah di seluruh dunia dalam IENA 2022 ini. Syabas saya ucapkan,” katanya.
Empat pelajar yang diiringi dua guru, Mohd Ridzuan Mohammad dan Mohd Zulhelmi Mansor, meraih pingat emas dan Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Oktober lalu.
Pelajar terbabit mengulangi kejayaan senior mereka yang turut memenangi pingat emas serta anugerah produk inovasi terbaik pada 2019 di pertandingan sama.
IENA ialah pameran inovasi tertua di dunia yang dipertandingkan sejak lebih 70 tahun lalu sempena pameran perdagangan yang mengetengahkan pelbagai ciptaan dan inovasi baharu terbesar di dunia. – Malaysiapost

