BIARPUN sudah enam tahun berlalu, ungkapan yang dilontarkan bekas suami kepada Ziana Zain masih terpahat dalam memorinya yang juga menjadi punca awal keretakan rumah tangga penyanyi itu.
Ziana atau nama sebenar Siti Roziana Zain, 54, berkata pengakuan meruntun jiwa yang diucapkan oleh bekas suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri sekali gus membuatkan dirinya tawar hati sehingga mengakibatkan perceraian pada 2018.
“Ingat saya (Armin) heran (peduli) ke kat dia (Ziana)? Saya tak heranlah (pedulilah) kat dia,” ucap Armin kepada Ziana sekitar tahun 2016.
Ziana mendedahkan perkara tersebut dalam nada menahan sebak menerusi progam bual bicara, ‘Next To Neelofa’ musim kedua, malam tadi.
Katanya, saat mendengar ungkapan itu perasaan Ziana sebagai isteri bercampur baur dan tidak percaya ianya keluar daripada suami yang sudah tinggal bersama berbelas tahun.
“Sebagai isteri perasaan macam mana sebagai isteri? Berbelas tahun saya taat kepadanya, dia boleh cakap dia tak heran (peduli) dengan saya. Jadi, saya ke sahaja yang terdamba-dambakan dia. Perasaan waktu itu rasa macam tiada harga diri.
“Macam mana dia (bekas suami) tergamak keluarkan perkataan sebegitu. Saya isteri dia. Dia nak anak empat, saya beranak anak empat (orang).
“Saya hampir hilang nyawa 50-50 bertarung (nyawa) untuk dia dan this is the end (inikah pengakhirannya),” katanya.
Menurut Ziana, sejak insiden terbabit yang berlaku hatinya mula menjauh dan menjurus ke arah peleraian rumah tangga mereka.
“Sejak 2016, hati saya jauh saja. Terkesan yang amat. Kalau dia (bekas suami) duduk sebelah kita atau kita nak tidur, saya macam minta pada Allah jangan dia duduk sebelah saya.
“Saya berdoa dan bertanya, kenapa saya macam ada rasa yang saya tak suka suami saya. Saya tak nak jadi isteri derhaka. Saya berdoa, kembalikan rasa kasih sayang terhadap suami saya,” katanya.
Berkongsi lanjut, Ziana turut mengakui salah seorang anaknya menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Kata Ziana, malam kejadian anaknya didakwa dirotan bekas suami itulah titik tolak yang merubah hidupnya, Ziana ingin membulatkan hati melakukan keputusan tepat dengan meminta pertolongan daripada Allah SWT.
“Saya buat solat taubat, istikharah dan hajat. Lepas itu, saya tidur dan bangkit pukul 5 pagi,” jelasnya.
Ujarnya, doa dan ibadatnya didengari Allah apabila satu persatu ‘rahsia’ bekas suami terbongkar.
“Selepas dua hari saya rasa macam memang inilah Allah nak tunjuk. Saya buat laporan,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan pada Mei 2018, Armin Zaharin didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mencederakan anak lelakinya.
Pasangan tersebut bercerai secara rasmi apabila Armin melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018. – Malaysiapost

