PRU15 : Calon pembangkang tukar kawasan mahu tabur janji baharu – PM

0
2

TINDAKAN ramai pemimpin parti pembangkang bertukar kawasan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, memberi gambaran seolah-olah mereka tidak yakin dengan khidmat yang diberikan kepada pengundi selama ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno, berkata keadaan itu membuatkan mereka membuat keputusan untuk bertanding di kawasan lain.

Katanya, mereka mungkin bertindak demikian kerana yakin akan dapat mempengaruhi pengundi dengan menawarkan janji baharu, berbanding pengundi di tempat lama.

“Ramai yang berpindah randah termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dari Port Dickson ke Tambun.

“Saya pun tidak tahu kenapa mereka suka berpindah-randah. Mungkin mereka tidak yakin dengan perkhidmatan yang berikan selama ini kepada pengundi menyebabkan mereka pergi ke tempat lain dengan janji baharu,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir pada program Kenduri Rakyat sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Pahang hari ini.

Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri berkata, beliau bertanding ke Parlimen Bera sejak 2004 dan masih kekal di Parlimen berkenaan.

Katanya, sebagai Perdana Menteri boleh berpindah ke kawasan lebih selamat jika tidak memberikan perkhidmatan kepada rakyat Bera.

“Tetapi saya kekal dan boleh lihat calon Umno hampir semua kekal bertanding di kawasan sama sebab kita memberikan perkhidmatan terbaik.

“Kalau kita berjanji untuk memberi perkhidmatan, rakyat yakin kepada kita (Barisan Nasional),” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, beliau sedia menghadapi cabaran daripada calon yang diletakkan oleh PKR untuk bertanding di Parlimen Bera kerana itu adalah perkara biasa dalam pilihan raya dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

“Kita terbuka dan bertanding itu perkara biasa. Di mana-mana pun mereka boleh bertanding,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here