BN tagih kesetiaan warga Felda Pahang sekali lagi

0
3

Najamuddin Mohd Nor

SIFAT setia warga Felda di seluruh Pahang terhadap Barisan Nasional (BN) wajar diteruskan sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata warga Felda ditagih membuktikan sekali lagi kepada BN seperti mana ditunjukkan pada PRU14 lalu di mana BN tidak tewas di kesemua kawasan Felda di Pahang.

Beliau berkata, undi warga Felda dapat diterjemahkan sekali lagi kepada kemenangan BN di peringkat negeri dan kerajaan Persekutuan pada PRU15.

“Saya beri jaminan jika kita menang besar, politik kita stabil, ekonomi kita bertambah baik, yang untung tuan-tuan dan puan-puan selaku rakyat yang amat setia.

“Felda adalah sebenarnya ‘fixed deposit’ kita, (warga) Felda adalah golongan yang sangat setia dengan kerajaan yang kita perintah dulu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Keluarga Felda, Teguh Bersama di Felda Mayam, Bera, hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Bera itu berkata, layanan kerajaan tidak terhenti setakat peneroka, malah pelbagai insentif baharu diumumkan baru-baru ini bagi generasi kedua Felda.

Katanya, ini termasuk pelaksanaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang ditambah baik dengan memperkenal inisiatif lot generasi Felda, dengan 8,670 unit lot telah dikenal pasti dan 770 unit telah pun dilaksanakan secara undian lot.

“Untuk (PGBF) Bera, saya harap disegerakan, kalau dah kenal pasti kawasan, panggil segera temuduga kalau ada permohonan, kalau ada permohonan luluskan segera untuk generasi kedua,” katanya.

Ismail Sabri menambah, RM20 juta diperuntukkan Felda dan lebih banyak lagi diumum kerajaan menerusi Bajet 2023, untuk bantuan pinjaman perumahan kepada golongan muda termasuk generasi kedua Felda menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan.

Perdana Menteri turut meminta Felda mengurangkan birokrasi dan menyegerakan permohonan Tabung Usahawan Belia Felda yang diperuntukkan dana pusingan sebanyak RM10 juta kepada generasi kedua.

Menurutnya, sejumlah 23 permohonan telah diterima di peringkat wilayah, dan permohonan itu seterusnya akan di bawa ke ibu pejabat untuk kelulusan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here