PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beriltizam untuk mengembalikan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan dominan sekali gus memastikan Melayu serta Islam sebagai tulang belakang negara.
Ahmad Zahid berkata, ketika beliau mengambil alih jawatan sebagai Presiden Umno pada 2018, beliau berazam mahu melihat pemimpin parti itu kembali menjadi Perdana Menteri dan mengambil alih semula kerajaan.
“Ketika itu dalam Dewan Merdeka di bangunan keramat ini sebelum PRU15 saya (berazam) mahu lihat pemimpin dari Umno mesti jadi PM dan kita ambil alih semula kerajaan.
“Selama 22 bulan Perdana Menteri orang Islam (zaman Pakatan Harapan) tetapi penguasaan pada kerajaan bukan lagi dipegang oleh orang Islam/Melayu selepas itu.
“Saya secara peribadi mengusahakan supaya orang Melayu mengambil alih rupanya selama 17 bulan Umno mahu diharamkan, saya tidak rela,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Himpunan Ahli Jemaah Perjuangan Malaysia (PEKIDA) Bersama Pemimpin Negara di Dewan Tun Hussien Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.
Jelas Ahmad Zahid, ketika itu ramai yang mencebik serta memandang hina terhadap impiannya untuk mengembalikan Umno dan BN sebagai sebuah kerajaan.
“Ketika itu orang mencebik, hina… saya bukan warak tetapi saya dapat menelah perkara ini, kini kita akan hadapi PRU15.
“Allah telah menurunkan nikmat, 5 November penamaan calon manakala 19 November menentukan sama ada kita terus relevan di bumi kita ini sendiri atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata PEKIDA dan Umno berada di landasan perjuangan sama iaitu membangunkan semula penyatuan Islam/Melayu.
“Ia apa yang kita perjuangkan selama ini untuk membuktikan bahawa kita dominan semula, supaya agama bangsa dihormati bukan sahaja oleh rakyat pelbagai kaum dan agama bahkan masyarakat antarabangsa.
“Untuk mencapainya saya pasti bukan hanya retorik, pidato, kata-kata semangat, apa yang katakan datang dari hati terpancar ikhlas saya yakin mesej ini harus sampai ke seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

