DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempersoalkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya veteran DAP, Lim Kit Siang yang sehingga kini berdiam diri berhubung laporan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku Tan Sri Tommy Thomas.
Menurut Presiden Umno itu, Kit Siang seolah-olah ‘buat-buat tak tahu’ walaupun laporan mengenainya telah didedahkan kepada umum.
“Kit Siang jika jujur melawan rasuah sepatutnya mempersoalkan tentang kes rasuah tanah dan banglo. Kes rasuah bekas Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) itu yang tiba-tiba digugurkan selepas beberapa bulan PH menang PRU14.
“Kes digugurkan di tengah-tengah perbicaraan setelah mahkamah memutuskan prima facie dan ramai saksi telah pun dipanggil,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata menjelang PRU15, pemimpin parti lawan memperkuatkan ‘serangan’ ke atasnya dan ia bukan sesuatu luar biasa.
“Ia terjadi luar biasa jika mereka tidak lagi `menyerang’ Pengerusi BN dengan pelbagai dakyah dari sebelum menjelang PRU15 lagi.
“Lebih-lebih lagi Pengerusi BN tidak mengalah kepada tekanan dan kezaliman mereka. Sebab itu Kit Siang amat mengambil berat tentang kerusi Parlimen Bagan Datuk.
“Sehinggakan soal calon PH di kerusi Parlimen Bagan Datuk pun beliau dalam kerisauan,” katanya lagi.
Tambah Ahmad Zahid, Kit Siang juga meminta PH merestui individu yang pernah menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan menjadi calon PH di Bagan Datuk.
“Alasan Kit Siang konon mahu lawan rasuah, tetapi itu alasan yang sangat-sangat tidak jujur. Beliau sendiri tahu Presiden Umno dikenakan pertuduhan di mahkamah semasa PH menguasai negara.
“Pertuduhan yang dikenakan ke atas saya sejurus PH menang PRU4 dan Tommy Thomas dilantik Peguam Negara.
“Jika saya mengulas secara terperinci dan terbuka mengenainya di sini boleh mengundang implikasi perundangan,” katanya. – Malaysiapost

