Langkah Kajang, PRK PD pengkhianatan sebenar – Azmin

0
2

PELETAKAN jawatan bagi memaksa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kajang dan Port Dickson adalah contoh sebenar pengundi dikhianati, bukan peristiwa Langkah Sheraton.

Demikian kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab dakwaan beliau adalah pengkhianat sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu menang kerusi Parlimen Gombak atas tiket PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sebelum keluar parti dan menyertai Bersatu.

Mohamed Azmin yang kini Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim memaksa penyandang kedua-dua kerusi di Kajang dan Port Dickson meletakkan jawatan pada 2014 dan 2018.

Menurutnya, ia dilakukan oleh Anwar demi kepentingan peribadi.

“(Kedua-dua) wakil rakyat masih hidup, masih berkhidmat, dipilih oleh rakyat semasa PRU. Tetapi kerana nafsu serakah seseorang maka wakil rakyat (Adun Kajang) dipaksa meletak jawatan untuk membolehkan beliau menjadi menteri besar Selangor pada ketika itu.

“Apakah kita lupa. Apakah ini bukan pengkhianatan namanya?,” katanya dalam video temubual yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Pada awal 2014, PRK Kajang diadakan selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh berundur bagi memberi laluan kepada Anwar, namun kemudian ditandingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia bertujuan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

PRK Port Dickson pula menyaksikan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah berundur untuk memberi laluan kepada Anwar, yang diberi pengampunan berkaitan kes mahkamah dihadapinya.

Sementara itu, Mohamed Azmin menegaskan beliau tidak pernah melompat dari satu parti ke parti lain, tetapi mendakwa dipecat daripada PKR kerana terlalu kritikal membidas parti.

“Tuduhan bahawa kita golongan katak adalah tidak berasas kerana saya dan kumpulan saya dipecat akibat tidak wujud demokrasi dalam parti lama.

“Kita tidak boleh menegur, tidak boleh bagi pandangan yang berbeza, maka ada pihak yang merasakan kekuatan mereka dicabar maka mengambil keputusan untuk memecat saya.

“Itu bukan masalah bagi saya. Perjuangan masih diteruskan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata “Langkah Sheraton” berlaku kerana perebutan kuasa dalam PH sendiri menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan.

“Mengapakan dipersalahkan saya atau Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan berlaku kekosongan itu kerana tindakan Perdana Menteri meletakkan jawatan, maka proses penggantian itu dilakukan mengikut perlembagaan negara yang sedia ada,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here