Muafakat Nasional senasib penyatuan umat Islam di Palestin?

0
3

Aiman Hanif

GAMBAR yang dikongsi Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi di media sosial baru-baru benar-benar mencengkam jiwa majoriti orang Melayu, khususnya penyokong PAS dan Umno.

Gambar yang dikongsikan menyaksikan sosok pemimpin utama parti orang Melayu Islam dominan di Malaysia membabitkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Presiden Umno Mohammad Hassan dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Berdasarkan gambar tersebut, satu pertemuan telah berlangsung baru-baru ini yang pastinya memberi sinar kepada dua parti yang bersekutu dalam Muafakat Nasional (MN) itu.

Pertemuan itu adalah pertemuan yang amat penting, sebagai salah satu usaha akhir bagi menyelamatkan gagasan MN, gagasan yang lahir dari sebuah manifestasi penyatuan ummah pasca kekalahan besar dan mengejutkan kedua-dua parti terbesar umat Islam tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) lalu yang lalu.

Wajah sugul Mohammad dan Tuan Ibrahim seperti menceritakan segala-galanya, MN seperti telah menemui ajalnya. Penyatuan ini yang pada asalnya bermula dengan cita-cita yang tinggi, demi menyatukan ummah secara umumnya dan telah secara khusus mencari titik persamaan bagi dua parti umat Islam utama di negara ini, kini bagaikan di penghujung usianya

Penyatuan dua parti ini melalui MN diiringi laungan takbir dan air mata, setelah mereka menamatkan perseteruan yang memakan masa hampir separuh abad, sejak tahun 1970-an, akhirnya “ditalkinkan” seawal usia menjangkau 40 tahun.

Memorandum MN dilihat hampir senasib dengan perjanjian Camp David tajaan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton pada awal 90-an yang walaupun berjaya menyatukan rakyat Palestin dan membuka jalan kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka dan bersejarah, ianya tidak pernah dapat memadam api konflik di Timur Tengah yang sehingga kini masih memuncak.

Perpecahan Hammas dan Fattah terus memburuk dan ia membuka jalan kepada Israel untuk kembali gagah merampas hak-hak Palestin dan rakyatnya selama berdekad-dekad.

Umat Islam bukan saja menempuhi penderitaan di Timur Tengah, perkara yang sama juga berlaku di India.

Sejak kumpulan radikal Hindu menguasai parti pemerintah, umat Islam terus ditekan dan ditindas. Malah, Perdana Menteri Modhi juga pernah membuat tuduhan bahawa rumah ibadah umat Islam seperti masjid menjadi pusat keganasan dan menyebabkan huru-hara dikalangan umat Islam di India.

Ini semua terjadi kerana pergolakan politik yang tidak stabil di Pakistan dan Bangladesh. Kedua-dua negara ini, yang mana pentadbiran negara masing-masing dipegang oleh umat Islam, kelihatan semakin hari semakin memburuk.

Secara tuntasnya, apabila umat Islam tidak bersatu, dan ditambah pula dengan keadaan politik yang tidak stabil, maka nasib mereka hanyalah ibarat telur di hujung tanduk.

Penderitaan umat Islam tidak terhenti hanya di Timur Tengah dan Asia Selatan. Di Xinjiang, kaum Uyghur menderita dengan keadaan yang semakin memburuk sehinggakan negara Barat yang sering dimomokkan oleh umat Islam tidak sanggup lagi untuk terus menutup sebelah mata dan membiar masyarakat Uyghur ini terus ditindas, dikurung dan dihalang amalan agama meraka secara paksa.

Sehinggakan baru-baru ini, negara-negara Barat ini telah membentangkan usul di Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) untuk membahas nasib kaum Uyghur yang tertindas.

Usul ini hanya boleh diluluskan sekiranya majoriti negara mengundi untuk membahaskannya. Malang sekali, Malaysia memilih untuk mendiamkan diri dan tidak mengundi. Sifat pengecut ini seperti sudah dijangkakan dan ianya dilakukan hanya kerana kerajaan negara yang menindas kaum Uyghur ini adalah rakan dagang terbesar di rantau ini.

Bagaimana kita hendak menyelamatkan umat Islam di negara lain sedangkan perpaduan ummah di Malaysia ini pun masih gagal selamatkan.

Adakah masih ada harapan kepada rakyat Malaysia dan umat Islam di negara ini? Persoalan yang akan terus kekal menjadi persoalan.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here