Kedah ranapkan harapan Perak ke Asia di Ipoh

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PEREBUTAN slot ke Piala AFC 2021 menjadi milik Kedah selepas skuad Hijau Kuning itu menundukkan Perak 3-2 pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Kejayaan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu meyaksikan Kedah menutup saingan liga dengan penuh warna bermula dari perubahan pengurusan, isu tunggakan gaji, logo serta nama pasukan.

Perak menggunakan kesempatan sebagai tuan rumah mendominasi separuh masa pertama, apabila Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi berpeluang meletakkan Perak di hadapan seawal minit ketujuh tetapi sepakan percumanya dari jarak 35 meter dinafikan penjaga gol, Muhammad Azri Ghani.

Beraksi sebagai pasukan pelawat dengan krisis kecederaan dua penjaga gol, Kedah mengejutkan tuan rumah pada minit ke-28 menerusi peledak berbisa, Kpah Sherman selepas menerima hantaran jauh dari kawasan pertahanan.

Kegembiraan skuad Lang Merah berterusan, selang tiga minit kemudian Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam bijak menyempurnakan lorongan cantik daripada Baddrol Bakhtiar untuk menewaskan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy di gawang Perak.

Tersentak, Perak berusaha untuk kembali merapatkan jurang gol.

Jaringan yang diharapkan skuad bimbingan Mehmed Durakovic muncul pada minit ke-42 apabila Leandro Dos Santos menyempurnakan sepakan penalti.

Tuan rumah sekali lagi melonjak kegembiraan apabila Leandro menyamakan kedudukan di masa kecederaan separuh masa pertama susulan tandukan hasil sepakan percuma Rafiuddin Roddin menewaskan Muhammad Azri.

Jaringan kemenangan Kedah hadir pada minit ke-63 berpunca tandukan pemain pertahanan import, Renan Da Silva Alves susulan sepakan sudut Baddrol sekali gus menewaskan Hafizul Hakim.

Kedudukan 3-2 itu kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan kem Kedah meraikan kemaraan layak ke pentas Asia buat dua musim berturut-turut. – Malaysiapost