DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mahu isu pembayaran royalti bagi mereka yang bergiat dalam industri perfileman dilihat semula.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan sebelum ini pernah dibincangkan ketika beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Katanya, perbincangan itu selepas beliau berjaya menyelesaikan isu mengenai bayaran royalti kepada penyanyi dan komposer menerusi pindaan Akta Hak Cipta 1987.
“Waktu itu saya bincang sama ada perlu ada akta atau dipinda akta berkaitan supaya dapat membantu pelakon, pengarah, khususnya ketika itu kecoh mengenai kesusahan kehidupan anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Sekarang, saya minta ia dilihat semula bagi membela hak pelakon, kerana ada yang dah berumur, hadapi masalah sara hidup. Jika mereka dapat royalti berterusan, tentu saja mampu menjaga kepentingan mereka di hari tua,” katanya berucap pada Program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) di sini, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia
pada tahun 2019, industri perfileman menyumbang 1.9 peratus atau RM29.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana sebanyak 216,811 peluang pekerjaan.
“Impak usaha kerajaan menarik pelaburan asing juga dapat dilihat melalui data
pelaburan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) FINAS berjumlah RM129.7 juta sehingga bulan Ogos 2022, iaitu melebihi sasaran KPI RM100 juta,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan, inisiatif kepada peserta industri kreatif negara seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 akan dilaksanakan sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, Bajet 2023 yang memperuntukkan RM152 juta kepada FINAS, perlu dibentangkan semula dan diluluskan di Dewan Rakyat selepas PRU15 untuk memastikan ia dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan pimpinannya yang bertanggungjawab merangka Bajet 2023, perlu dipilih semula dalam pilihan raya berkenaan.
“Ini bukan saya letak syarat, tapi apabila Bajet 2023 dibentangkan sebelum ini, ia tak sempat dibahaskan. Ikut peraturan, kita perlu bentang dan luluskan di Dewan Rakyat.
“Jadi terserahlah apa yang perlu dibuat. Ini bermakna bagi membolehkan Bajet 2023 dibentang dan dilaksanakan, kerajaan yang saya terajui perlu dipilih sekali lagi,” katanya. – Malaysiapost

