Amanah hairan PH enggan kerjasama dengan Tun M – Khalid Samad

0
2
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad

AMANAH melahirkan rasa hairan terhadap keputusan Pakatan Harapan (PH) yang enggan bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, pihaknya berpendirian parti pembangkang seharusnya bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam itu berkata, beliau tidak faham mengapa terdapat penolakan yang kuat terutamanya daripada PKR.

“Seperti yang kita tahu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mohon untuk bertemu PH, tapi malangnya, pimpinan PH memutuskan untuk tidak meneruskannya.

“Apa yang saya tak faham, terdapat penolakan yang kuat terutama dari PKR.

“Amanah sentiasa berpendirian bahawa pembangkang perlu bersatu supaya kita dapat memaksimumkan kerjasama dengan semua parti pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat jawatankuasa PH berhubung peruntukan kerusi bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini.

Khalid berkata, mana-mana parti pembangkang yang mendapat sokongan rakyat seharusnya tidak diketepikan seperti MUDA yang ada sokongan, begitu juga Pejuang.

“Tetapi saya rasa pendirian Amanah tidak diterima atas apa jua alasan. Cadangan dan permintaan Pejuang untuk berjumpa telah ditolak.

“Tiada sebab mengapa kita tidak boleh bekerjasama dalam pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun Khalid berkata, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat oleh PH.

Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal kemungkinan bekerjasama dengan Dr Mahathir dalam menghadapi PRU15.

Ditanya bila pertemuan antara kedua-duanya akan diadakan berikutan laporan bahawa beliau bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan Pengerusi Penaja GTA itu, Anwar berkata:

“Bila (hendak) kerjasama? (dengan Dr Mahathir) siapa kata? (terbuka untuk bekerjasama) saya kata nak bincang, sesiapa pun boleh bincang,” tegas Anwar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here