Umno masih ‘keruh’, rakyat perlu pilih kerajaan yang lebih bersih – Khairil Nizam

0
2
khairil nizam

RAKYAT berhak memilih kerajaan yang lebih bersih, kata Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, pemimpin dan parti yang tidak bersih tidak akan mampu menghasilkan kestabilan yang diidamkan.

Katanya, kerisauan rakyat untuk mengundi Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar memandangkan parti itu masih belum ‘bersih’ sepenuhnya.

“Rakyat wajar untuk ada kerisauan kerana kerosakan yang berlaku di dalam Umno akan memberi kesan kepada pengurusan negara jika ia terus dibiarkan.

“Benda lama jika tidak diselenggara memang mudah rosak. Rosak yang sedikit jika dibiarkan akan membarah merosakkan keseluruhan. Itulah yang berlaku kepada Umno.

“Lebih 60 tahun Umno duduk senang memegang tampuk pemerintahan tanpa membaiki kerosakannya sehingga rakyat hilang keyakinan terhadap kemampuan Umno dalam mentadbir negara,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Khairil Nizam berkata, kekeruhan yang melanda Umno perlu dijernihkan dan membuang budaya lama yang menyebabkan punca tumbangnya Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu.

“Mungkin orang politik lupa bahawa rakyat semakin bijak, semakin berani dan semakin prihatin.

“Masalah rasuah yang membarah, individu yang gila kuasa, skandal yang tidak berkesudahan menghantui pemerintahan Umno sehingga menjejaskan kestabilan kerajaan ketika itu.

“Ada orang sudah terhantuk baru tengadah. Ada yang tetap tidak berubah. Budaya lama seolah-olah masih kukuh dalam Umno walaupun ia menjadi punca kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.

Justeru, Khairil Nizam berkata, rakyat perlu memilih kerajaan yang bersih pada PRU15 bagi menjamin kestabilan negara sekali gus menolak parti yang sedang bergolak di dalamnya.

“Rakyat tidak mahu sebuah parti yang menjadi hak milik peribadi. Rakyat tidak mahu parti yang bergerak demi menjaga individu.

“Bagaimana mungkin sebuah parti yang sedang bergolak, yang hanya mengikut telunjuk Presiden ini boleh diyakini untuk mentadbir negara? Individu-individu yang rosak ini akan merosakkan Umno.

“Rakyat sudah membuat pilihan pada PRU14. Rakyat juga berhak memilih kerajaan yang lebih bersih dan menjamin kestabilan negara bagi PRU15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here