SPR perlu perjelas peningkatan mendadak pengundi di Sabah – Bung Moktar

0
2

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diminta memberi penjelasan berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi berdaftar di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata peningkatan itu meragukan apabila jumlah pengundi berdaftar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meningkat 50 peratus berbanding PRU14.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu, terdapat peningkatan pengundi Bumiputera Islam yang tinggi di kawasan penduduk Kadazan Dusun Murut (KDM) antaranya di Parlimen Penampang.

“Pertambahan jumlah pengundi yang terlalu tinggi secara tidak langsung memberi kesan terhadap parti politik dalam pilihan raya kali ini (PRU15)…jumlah tersebut amat meragukan,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan peningkatan mendadak pengundi di Sabah iaitu daripada 1,064,686 orang ketika PRU14 kepada 1,638,806 orang tahun ini untuk PRU15.

Sementara itu, Bung Moktar juga meminta supaya SPR mempertimbangkan kelayakan undi awal atau undi pos kepada mahasiswa terutama yang baharu mendaftar di universiti masing-masing bagi membolehkan mereka mengundi pada PRU15.

Menurutnya hak golongan itu untuk memilih tidak boleh dipinggirkan terutama apabila pengundi muda berusia 18 tahun dibenarkan mengundi melalui pendaftaran secara automatik berkuat kuasa 15 Disember tahun lepas.

“Kita sedia maklum penuntut universiti termasuk dalam kelompok pengundi 18 tahun yang kini sedang menuntut dan sebahagiannya baru sahaja mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di seluruh universiti di negara ini.

“Justeru kumpulan ini perlu diberikan kelonggaran membuang undi awal atau undi pos supaya hak mereka sebagai pemilih tidak terabai,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here