PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia bertemu dan berbincang dengan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kerjasama politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun Anwar menegaskan, gabungan tersebut mesti menjelaskan dahulu apakah prinsip yang akan dibawa demi masa hadapan negara.
Beliau berkata, PH menekankan kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini.
“Tiada masalah. Boleh jumpa, boleh bincang, tetapi selalu saya tekankan mengapa nak lawan PN atau BN. Atas dasar (lawan) iaitu tolak rasuah, perkauman dan fahaman melampau. Kalau itu yang diminta, saya tiada masalah,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Dr Mahathir berhasrat untuk bertemu Anwar bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.
Mengulas kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam bahawa Anwar antara pemimpin mampu menerajui negara, Presiden PKR itu mengucapkan terima kasih kerana kenyataan Musa itu membantunya dalam berkempen.
“Kenyataan Tun Musa itu membantu. (Musa kata) layak dan ada pendedahan peringkat antarabangsa. Saya ucapkan terima kasih kepada Tun Musa,” katanya.
Musa sebelum ini menyifatkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob; bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Anwar sebagai pemimpin yang mampu menerajui Malaysia.
Katanya, tiga pemimpin itu dilihat memiliki kualiti, daya tahan serta karisma dalam memimpin negara mengharungi cabaran semasa. -Malaysiapost

