Nilam Oshman
PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di dua lokasi di Lahad Datu, Sabah, bermula tengah malam 13 Oktober hingga 26 Oktober ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia membabitkan Taman Khazanah Indah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Mutiara Kasih.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara hari ini, selepas mendengar laporan daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah.
Katanya, PKPD itu melibatkan seramai 5,452 penduduk di kawasan tersebut.
“Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat, tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
“Manakala bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.
“KKM turut akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.
Katanya, bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.
Selain PKPD di dua lokasi itu, beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kota Belud berikutan peningkatan kes COVID-19 di daerah berkenaan.
PKPB Kota Belud juga akan dilaksanakan bermula tengah malam 13 Oktober hingga 26 Oktober ini. -Malaysiapost

