TUN Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak kisah dituduh ‘terhegeh-hegeh’ bekerjasama dengan musuh politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi percaturan politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, cercaan yang mendakwa beliau ‘menjilat semula ludah’ kerana bekerjasama dengan Presiden PKR untuk mengalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak memberi kesan terhadapnya.
Tegasnya, apa yang penting adalah untuk mencapai matlamat menyekat Datuk Seri Najib Razak, Umno dan BN daripada terus berkuasa selepas PRU-14.
Menurutnya, sifir politiknya ketika itu juga amat jelas, iaitu jika pihak pembangkang tidak bersatu dan bertanding di atas pentas yang sama, Najib dan konco-konconya akan terus berkuasa.
“Semasa saya pergi bertemu dengan Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada dalam fikirkan saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Najib dan kerajaan Umno/BN pimpinannya dari terus berkuasa.
“Ketika itu, seluruh dunia melaporkan puluhan bilion wang rakyat dirompak oleh Najib dan jika Najib serta kerajaan itu tidak dijatuhkan pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun,” katanya dalam video di Facebook, hari ini,
Dalam video berkenaan, Dr Mahathir menjelaskan dakwaan yang mengatakan beliau terhegeh-hegeh bertemu musuh apabila membuat percaturan politik.
Menurutnya, contoh yang kerap diguna ialah bagaimana beliau sanggup pergi berjumpa Anwar sampai ke mahkamah sebelum pilihan raya 2018 untuk mendapat sokongan darinya.
“Ini benar. Bagi saya perasaan peribadi, bersikap sombong, ego dan kepentingan diri tidak ada tempat dengan sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama, bangsa dan tanah air,” tegasnya.
Menurutnya, pilihan yang perlu dibuat ketika itu adalah mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara dan beliau perlu bekerjasama dengan bekas musuh-musuh yang juga bersetuju perlunya menyekat kejahatan tersebut.
“Kerana itu saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan.
“Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya. Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan negara tercapai.
“Kejatuhan Najib menunjukkan kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita,” katanya.
Anwar adalah musuh politik Dr Mahathir sejak tahun 1999 dan beliau yang merupakan Perdana Menteri ketika itu menuduh Anwar iaitu timbalannya melakukan hubungan sejenis. – Malaysiapost

