CALON-calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan bermula 5 November ini dengan hari penamaan calon.
Dalam persiapan itu, calon-calon yang akan bertanding mewakili parti berkenaan sudah mula menjalani sesi fotografi semalam.
“Pagi tadi juga bakal-bakal calon PRU-15 daripada PBM sudah mula menjalani sesi fotografi bagi persiapan menjelang PRU-15.
“Dalam gambar merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng yang akan mempertahankan kerusinya,” menurut PBM dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya.
Setakat ini, belum dipastikan sama ada PBM akan menyertai mana-mana gabungan dan difahamkan permohonannya untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 ini juga tergantung.
Media sebelum ini melaporkan PBM sudah menyerahkan borang permohonan untuk menyertai BN, namun masih tiada jawapan dan beberapa pemimpin BN serta Umno turut bersuara menolak penyertaan PBM. – Malaysiapost

