PAS tidak perlu bimbang sasaran Umno tawan 10 kerusi di Kedah –  Shaiful Hazizy 

0
2

PAS tidak perlu takut dan bimbang dengan sasaran Umno untuk menawan 10 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, walaupun ia hanya sasaran, namun parti itu istiqamah untuk mencapainya. 

“Kami meletakkan sasaran yang rasional selepas kajian sikap dibuat. 

“Jangan pula terkejut sekiranya angan-angan kami ini menjadi kenyataan, 10 kerusi Parlimen Kedah berada dalam genggaman Umno dan BN,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan,  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan sasaran BN untuk menang sekurang-kurangnya 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15 sebagai angan-angan. 

Shaiful Hazizy dengan nada sinis berkata, beliau hairan mengapa Menteri Besar Kedah khuatir dengan perkara itu sedangkan semua sedia maklum popularitinya begitu tinggi dan disukai ramai. 

“Tambahan lagi pencapaian cemerlang pasukan bola sepak negeri Kedah dan keberanian beliau mendepani TMJ sudah cukup menggambarkan betapa hebatnya beliau,” katanya. 

Shaiful Hazizy bagaimanapun menasihatkan PAS  supaya berhenti meninggi diri dan jangan umpama beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh yang bongkak bercakap besar namun tidak berisi. 

“Segala kemungkinan boleh terjadi kerana kita bukanlah Tuhan yang boleh menentukan masa depan dengan pasti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here