CUEPACS menyambut baik cadangan kerajaan Sarawak menggabungkan empat pihak berkuasa bekalan air utama di negeri itu sebagai sebuah entiti yang akan dikenali Lembaga Air Sarawak.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata cadangan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg itu membolehkan perkhidmatan bekalan air yang menjadi keperluan asas penduduk lebih baik dan dapat menjaga kebajikan warga kerjanya.
“Pada mulanya terdapat ura-ura empat agensi yang menguruskan air di Sarawak iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd (LAKU) akan diswastakan.
“Ia menimbulkan kebimbangan warga kerja mengenai nasib mereka jika penswastaan itu berlaku terutama kebajikan dan jaminan pekerjaan pada masa akan datang. Sudah tentu dalam proses penswastaan akan berlaku pengurangan daripada sudut manfaat sedia ada serta risiko pengurangan kakitangan.
“Penswastaan sepenuhnya juga dibimbangi meningkatkan tarif air pada masa akan datang kerana ia tentu akan bersifat keuntungan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata, dengan cadangan tersebut CUEPACS yakin kerajaan Sarawak mampu menjadikan lembaga air itu lebih berdaya saing dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, dalam masa sama kebajikan kakitangan tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk menggabungkan empat pihak berkuasa bekalan air utama di negeri itu yang akan dikenali Lembaga Air Negeri.
Katanya, kajian itu melibatkan penggabungan JBALB, KWB, SWB, dan LAKU. – Malaysiapost

