KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beliau kini menjadi sasaran fitnah pihak tertentu.
Menurutnya, banyak berita fitnah yang mula ditularkan termasuklah, mengulang siar video fitnah lama kononnya beliau memeluk wanita bukan mahram.
Beliau menegaskan, dalam video tular itu wanita yang dipeluk semuanya adalah ibu, isteri dan adik-beradik kandungnya sendiri.
“Mereka cuba sedaya upaya memfitnah, mentohmah dan bersungguh-sungguh menyelongkar sebarang salah silap saya.
“Alhamdulillah Allah pelihara saya daripada terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, beliau juga tidak pernah didakwa di mahkamah kerana pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan, kuasa ataupun melakukan sebarang perilaku tidak berintegriti.
“Sebab itu mereka terus berusaha merosakkan reputasi dengan fitnah dan mencipta persepsi.
“Ingatlah politik fitnah hanya membawa kecelakaan dan bencana kepada diri, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau menyeru seteru politiknya agar berlawan dengan hujah dan berkempen dengan hikmah seraya membentangkan polisi yang hendak ditawarkan kepada rakyat.
“Bukannya bermain dengan tohmah, bergantung kepada kempen memfitnah dan menanam kebencian,” katanya. – Malaysiapost

