Isu 27 kerusi kritikal antara PAS dan PN selesai – Idris

0
2
https://malaysiapost.com.my/2022/04/26/aliff-syukri-tiba-di-skmm-bantu-siasatan-klip-video-aidilfitri/

ISU pembahagian calon bagi 27 kerusi Parlimen di kawasan kritikal antara PAS dan Perikatan Nasional (PN) sudah diselesaikan.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata semua kerusi yang akan ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dimuktamadkan Majlis Syura parti itu semalam.

“Semua kita sudah ada calon. Semua sudah selesai. Sama ada nak bertanding atau tidak bertanding bukan soalnya, yang penting calon sudah ada,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Isu 27 kerusi kritikal kembali hangat diperkatakan apabila PAS memutuskan kekal bersama PN.

Penganalisis politik membayangkan PN tidak harus meletakkan calonnya di 27 kerusi berkenaan bagi mengelak pertembungan dengan Umno sekali gus memastikan kerusi itu tidak jatuh kepada Pakatan Harapan (PH).

Semua 27 kerusi Parlimen itu dikatakan kawasan kritikal kerana apabila jumlah undi Umno dan PAS digabungkan berdasarkan keputusan PRU14, ia boleh mengatasi undi yang diperoleh PH.

Kawasan itu ialah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Parit Buntar, Tambun, Lumut, Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kapar, Kuala Langat, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Sri Gading, Tanjung Piai, Tangga Batu dan Putatan.

Sebelum ini, Umno dan PAS dikatakan mahu berunding untuk meletak calon masing-masing di 27 kerusi kritikal itu ketika masih menjalin kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) demi mencapai kuasa politik Melayu yang lebih besar dan stabil di peringkat Parlimen.

Ditanya mengenai kesediaan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali bergelar Perdana Menteri, Idris berkata, negarawan itu boleh memegang jawatan itu semula jika mendapat sokongan ahli Parlimen.

“Syarat mahu jadi Perdana Menteri kena dapat sokongan ahli Parlimen,” katanya. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here