PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengimbau 55,000 kakitangan kontrak sektor awam ditamatkan perkhidmatan selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presiden Umno itu berkata, angka tersebut berdasarkan laporan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Menurutnya, mereka yang dibuang melibatkan kakitangan kontrak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Biro Tata Negara (BTN), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan lain-lain.
“Ini alasan PH pada 3 September 2018 selepas tamatkan khidmat kakitangan kontrak kerajaan: Pekerja kontrak kerajaan atau apa yang digelar pekerja khidmat singkat harus menerima kenyataan. Kita juga ada kekangan yang perlu ambil kira.
“Ini pula alasan Perdana Menteri kerajaan PH semasa membubarkan lima agensi dan jawatankuasa kerajaan: Kebanyakan institusi ini bukan sebahagian daripada kerajaan yang sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid mendakwa, sebelum PRU14 PH menjanjikan sejuta peluang pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500.
Justeru katanya, rakyat tidak harus ditipu lagi dengan propaganda parti itu mengenai peluang pekerjaan menjelang PRU-15.
“Kerajaan PH sebuah ‘kerajaan kekangan’. Kerajaan PH sebuah ‘kerajaan apa pun tak boleh’.
“BN ketika jadi kerajaan berusaha wujudkan peluang pekerjaan, PH jadi kerajaan cipta alasan memansuhkan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya BN kembali menjadi sebuah kerajaan yang dominan parti itu akan berusaha wujudkan semula banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.
BN katanya, tahu bagaimana untuk mewujudkan peluang pekerjaan kita pernah melakukannya sebelum ini bukan sahaja untuk sektor awam tetapi juga sektor swasta.
Menurut Ahmad Zahid, melalui pemerkasaan industri ia juga merancakkan lagi pelaburan asing. – Malaysiapost

