Silibus diguna KPM sejak 2017, bukan ketika saya menteri – Radzi Jidin

0
2

DATUK Dr Radzi Jidin menafikan silibus digunakan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam sistem pembelajaran ketika ini dihasilkan ketika beliau menerajui kementerian itu.

Sebaliknya, Menteri Kanan Pendidikan itu menjelaskan, silibus untuk setiap mata pelajaran digunakan pada masa ini telah dibentuk sebelum pelaksanaannya pada 2017.

“Silibus 2017 selesai pusingannya tahun ini untuk sekolah rendah. Untuk sekolah menengah pusingannya tamat tahun lalu sebab itu Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) ada sedikit perubahan.

“Selepas selesai tempoh satu pusingan itu, KPM akan lihat proses dan kaji semula. Silibus-silibus ini dibina oleh guru-guru dan mereka yang berkebolehan dalam bidang tertentu.

“Kita kena faham apa yang kita ada pada hari ini (silibus) bukannya tiba-tiba dibuat oleh Radzi Jidin, datang daripada saya, tidak. Ini satu proses silibus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di Shah Alam, hari ini.

Dr Radzi ditanya dakwaan menyatakan silibus pelajar sekolah rendah sekarang sukar.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, KPM tidak boleh mengubah silibus sesuka hati kerana tindakan itu akan menyusahkan guru dan pelajar.

“Kalau nak kaji, KPM (kena) libatkan beberapa jawatankuasa dan pelbagai pihak,” katanya.

Dr Radzi juga menolak dakwaan beliau menutup ruang untuk guru memberikan pandangan mengenai sistem pendidikan.

Bagaimanapun katanya, sebagai menteri terdapat keperluan untuk beliau menjarakkan diri khususnya daripada Lembaga Tatatertib yang berfungsi untuk memutuskan tindakan lanjut terhadap mana-mana penjawat awam.

“Sejak saya masuk kementerian, ada ruang ada batasan antara menteri dengan penjawat awam yang saya tidak boleh sentuh. Contohnya, ruang dengan Lembaga Tatatertib.

“Namun di mana-mana sesi perjumpaan saya dengan guru-guru, saya tidak pernah tutup ruang untuk guru beri pandangan. Malah banyak pandangan KPM adalah berdasarkan pandangan guru-guru. Saya turun padang untuk bercakap dengan guru-guru.

“Untuk kata kita tidak dengar di bawah saya rasa itu tidak tepat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here