BN ‘buta warna’ dalam memberikan kemakmuran pada rakyat – Ahmad Zahid

0
2

BARISAN Nasional (BN) memberi jaminan akan mengembalikan kestabilan dan kemakmuran kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Menggunakan analogi ‘buta warna’, Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata mandat rakyat yang diperolehi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti akan dikembalikan dalam bentuk kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

“Saya buta warna, BN juga buta warna dalam memberikan kemakmuran pada rakyat dan inilah janji BN apabila diberikan mandat semula mentadbir negara.

“… dan kita harap pilihan raya kali ini di negeri Perak dan negeri-negeri lain menyokong BN malah jentera dan pemimpin-pemimpin di semua peringkat dan seluruh negara sedia bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dewan Perdana Umno Bahagian Bagan Datuk, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Han Soon; Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah dan Ketua-ketua Bahagian Umno seluruh negeri Perak.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, tujuan mewujudkan solidariti adalah untuk kesungguhan dalam menzahirkan kestabilan dengan tujuan demi kemakmuran negara.

Katanya, BN menekankan bahawa kemakmuran harus dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan kaum, tanpa mengira budaya, agama dan bahasa.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru jentera BN agar tidak berhenti bekerja bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-15 ini.

“Tugas dan tanggungjawab kita di BN Perak dari semua peringkat dan golongan pastikan mendapat kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi BN membentuk kerajaan yang lebih kuat berbanding dengan PRU-14 agar BN dapat memberikan kesejahteraan dan kemakmuran bagi rakyat negeri ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here