Ingkar PKPP: 21 individu termasuk 15 warga asing ditahan

0
2

SERAMAI 21 individu termasuk dua pemilik premis pusat hiburan ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.40 malam itu, seramai 11 lelaki warga Afrika dan tiga wanita tempatan ditahan ketika sedang leka berhibur sambil minum arak di premis di Desa Jaya, Desa Aman Puri, Selangor.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata ketika pemeriksaan, pihaknya mendapati individu berusia 27 hingga 46 tahun itu didapati sedang leka berhibur sambil minum arak.

“Tiada penjarakan fizikal dan mereka tidak mematuhi prosuder operasi standard (SOP) PKPP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya turut menahan pemilik premis iaitu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun dan lelaki warga Afrika berusia 38 tahun.

“Turut ditahan, lima pelayan wanita warga asing terdiri empat Filipina dan seorang Nigeria, berusia 22 hingga 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata, semua individu terbabit direman antara tiga hingga 14 hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1963, Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1963 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. -Malaysiapost