PKR akan mengumumkan senarai calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam satu ceramah besar, beberapa hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pada 20 Oktober ini.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata buat masa ini tumpuan diberikan bagi menyiapkan perancangan dalam menghadapi pilihan raya itu membabitkan keputusan-keputusan penting termasuk pemilihan calon.
“Minggu pertama selepas pengumuman pembubaran Parlimen dibuat. Saya tumpukan 80 peratus masa dan tenaga saya menyiapkan perancangan masuk pilihan raya termasuk keputusan-keputusan penting.
“Proses saringan calon dan penentuan calon; penjenamaan dan bahan kempen; serta menyusun jadual penuh kempen di seluruh negara. Alhamdulillah semuanya berjalan baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, buat pertama kali juga tapisan calon berlaku melalui proses yang melibatkan semua Naib-Naib Presiden, Ketua AMK dan Ketua Wanita PKR.
“Saya berharap ini menjadi titik mula memastikan semua individu ada hak untuk mencalonkan diri mereka tanpa perlu bimbang kena baik dengan pimpinan tertentu.
“Proses berjalan baik dan insya-Allah PKR akan mengumumkan semua calon dalam satu ceramah besar beberapa hari selepas SPR bermesyuarat pada 20 Oktober ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun sibuk dengan persiapan pilihan raya di belakang tabir sehingga 20 jam sehari, beliau tetap turun berkempen selain turut terhibur dengan beberapa perkara biasa yang dilaluinya setiap hari.
“Sejak minggu lalu, pejabat saya ada seekor burung merpati yang sesat dan sudah jadi penghuni di ‘rooftop’ kami. Ada yang datang ceramah bisik kepada saya: hati-hati, itu mungkin sihir.
“Ada yang lagi nakal: hati-hati, itu mungkin merpati dari Kajang. Macam-macam gelagat. Saya doakan semua rakyat Malaysia terbuka hati buat yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

