KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedia berjumpa dengan guru yang mendakwa berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan masalah dialami murid termasuk isu beg berat.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi Facebooknya malam tadi, berkata beliau tertarik untuk mengetahui lebih lanjut perkara yang dibangkitkan guru berkenaan, Mohd Fadli Mohamed Salleh.
“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh.
“Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya.

Semalam, tular surat daripada KPM yang didedah oleh guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu bahawa beliau berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menegur beberapa isu berkaitan pendidikan.
Sementara itu, menjawab pelawaan Menteri Pendidikan, Mohd Fadli berkata, ramai wartawan menghubunginya berhubung isu tersebut namun beliau tidak dapat memberikan temubual kerana masih merupakan penjawat awam.
“Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi juga ada tag saya. Nak jumpa bincang isu yang saya sebut katanya.
“Baru malam ni beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di post beliau, saya komen di page KPM merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali. Baru malam ini ada respon.
“Kenapa agaknya baru malam ini? Bukan masa saya dipanggil unit integriti tahun lepas? Bukan masa saya tag dan komen pada post beliau dan post KPM berkali-kali sejak bertahun lama?” soalnya.

Dalam hantaran di laman Facebook itu juga, Mohd Fadli meminta ahli politik tidak menggunakan isu tersebut sebagai modal politik mereka.
“Umum tahu saya tak pernah berpolitik dan tak pernah mendaftar sebagai ahli mana-mana parti politik. Nak bantu sama-sama perjuangkan, silakan.
“Namun nak jadikan sebagai senjata dan modal politik, saya takkan bersama kalian,” katanya. – Malaysiapost

