KEPUTUSAN PAS untuk terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah dijangka Umno lebih awal, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun pintu rundingan antara kedua-dua parti sudah beberapa kali dibuka, namun PAS kekal dengan pendiriannya bersama PN, sekali gus menolak kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).
Naib Presiden Umno itu berkata, Umno menghormati keputusan PAS walaupun pada awalnya parti itu bersama dalam MN yang mencetuskan hampir semua orang Melayu dan Islam diselubungi perasaan teruja dengan pembentukan gabungan berkenaan.
“Umno dari awal sudah menjangka (keputusan PAS) berdasarkan beberapa kenyataan dibuat kepimpinan PAS, walaupun kita sentiasa terbuka ketika itu untuk berbincang.
“Namun, semalam kata putus (PAS) sudah dibuat, sebab itu dari awal Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi buat kenyataan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) sedia bergerak solo.
“Kita sudah sebut beberapa kali kita bersedia,” katanya selepas merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chinchin, Jasin, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, Umno dan BN memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15 susulan keputusan PAS perkukuh kerjasama dalam PN.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dan perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, BN dan Umno sudah bersiap sedia dengan sebarang jawapan daripada PAS sama ada mahu menjalin kerjasama atau sebaliknya.
“Jika jawapan PAS ya, kita ada tindakan, jika no (tiada kerjasama), kita pun sudah bersedia dengan pelan kita untuk memastikan kemenangan BN pada PRU15 ini,” katanya. – Malaysiapost

