FELDA United FC (FUFC) yang sebelum ini mengumumkan menarik diri dalam saingan Liga Malaysia musim depan mungkin berubah fikiran untuk terus kekal.
Ini susulan pengurusan FUFC sedang berusaha menyelamatkan pasukan itu dengan perbincangan dengan pelabur baharu dalam tempoh terdekat bagi menyelamatkan pasukan yang berpangkalan di Jengka, Pahang berkenaan.
Setiausaha Agung FUFC, Afizal Abu Othman, berkata pihaknya sedang berusaha menyelamatkan pasukan itu dan kemungkinan akan terus bertanding dalam Liga Malaysia musim depan dengan menggunakan nama baharu.
“Saya bersyukur MFL dan FAM bekerja keras untuk membantu kami menghalang pasukan daripada tutup kedai.
“Kami akan mencari (pelabur) selewat-lewatnya pada akhir minggu depan kerana kami perlu melakukannya sebelum tarikh akhir 19 Oktober,” katanya seperti dilapor New Straits Times.
Beliau bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pemilik baharu nanti untuk menentukan nasib pemain sama ada mereka akan dikekalkan atau dilepaskan ke pasukan lain.
“Kami belum maklumkan kepada pemain atau jurulatih mengenai apa-apa lagi kerana mereka masih berada dibawah FELDA United sehingga November. Ia bergantung kepada pemilik baru.
“Secara jujurnya, kami mahu menyelamatkan anak-anak Felda kerana mereka masih muda, masih baru dalam dunia bola sepak.
“Bola sepak adalah masa depan mereka, pendapatan mereka. Kemana mereka mahu pergi? Ini melibatkan 130 pemain daripada skuad Piala Presiden sehingga pasukan utama,” katanya.-Malaysiapost

